Saturday, March 6, 2010

kembara ulama 6

0 comments

TG HJ NIK MAN KHATIB(1911 - 1968)

TG HJ NIK MAN KHATIB(1911 - 1968)
Beliau ialah Hj Abdul Rahman bin Abdullah bin Abdul Samad. Dilahirkan di Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1911 di zaman Sultan Muhammad ke IV. Atau dikenali dgn zaman kemajuan Kelantan. Bapanya salah seorang ulamak terbilang Kelantan. Mula belajar Feqh dan Tasawuf dgn ayahnya dan TG Hj Ahmad Mannan dan lain-lain.Beramal dgn tarekat Ahmadiyyah. Ke Makkah pd thn 1935 utk belajar. Seorg yg warak & tidak suka menonjol diri. Sahabtnya kaki masjid, Hafiz Qur'an dan Ahli ibadat. Dilantik Imam Tua Masjid Muhammadi thn 1946. Menjadi ahli Jemaah Ulamak MAIK 1949. Beliau adalah sahabat baik TG Hj Daud Bukit Abal. Meninggal dunia 22 Jan 1968 dlm usia 57 tahu
Read more >>

kembara ulama 5

0 comments

TG HJ YAHYA KUPANG (1906-1959)

TG HJ YAHYA KUPANG (1906-1959)
Nama sebenar Hj Yahya bin Muhammad Taha bin Idris. Beliau dilahirkan di Kg Pisang, Kupang, Baling, Kedah. Berasal dari Pattani. Belajar al-Qur'an dgn bapa saudaranya Awang Besar dan TG Hj Ahmad Awg Besar. Belajar di Sek Melayu Sik hingga darjah 3. Kemudian memondok dan menadah kitab dgn TG Hj Yaakub selama 6 thn. Kemudian menyambung pelajaran di Makkah selama 12 tahun.Antara gurunya : Pak Chik Daud Fathoni, TG Hj Yahya Reman, Pak Da Eil, Syekh Mukhtar Utarid, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Syeikh Syed Alawi DLL Beliau bersama Pak Su Hj Ahmad berarak sambil bertakbir dan berzikir dgn kuat sehingga komunis mengundurkan diri. Beliau juga dijemput menghalau komunis di Batu Kurau. Perak. Melahirkan murid yang ramai. Dipercayai seorang yg mempunyai keramat. Meninggal dunia petang Khamis di rumah isteri ke3nya tahun 1959. Dikuburkan di Tanah Perkuburan Masjid al-Huda, Kg Hangus
Read more >>

kembara ulama 4

0 comments

TG HJ AWANG FAKIR (1876-1964)

TG HJ AWANG FAKIR (1876-1964)
Nama sebenar Hj Abdullah bin Hj Yusuf Bekeng. Ibunya dikenali dgn Mek Teh. Berketurunan Raja Patani. Menetap di Kg Biah dekat Nilam Puri. Mengaji di pondok Chenok, Pondok Bendang Jong dgn Tok Chaok (masyhur dgn gelaran ahli Makrifat). Tiga bulan makan labu sbb kehabisan beras semasa memondok.Balik ke Kelantan untuk berkahwin.Diberi 'Doa Patani' oleh Tok Chaok.Mengaji pula dgn Tok Mufti Hj Wan Musa, TG PakSu Lah Kg Bot dan Tok Kemuning Tua.Mengaji pula di Makkah 2 tahun. Akhirnya, pulang dan thn 1929 menetap di Kg Lembu (Nilam Puri). Melahirkan ramai murid. Amalan istimewa : Doa surah al-Ikhlas, Ayat al-Kursi, Ayat 33 n Selawat. Pencuri labunya sakit perut serta merta. 3 Penyamun tidak boleh keluar dari sebuah kebun hingga ke pg kecuali dgn kebenarannya. Kembali kerahmatullah pada 5.50pg, Isnin 4 Mei 1964
Read more >>
0 comments

Wednesday, January 13, 2010

Keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan 2008 Mengenai Kalimah Allah

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah



Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites
Alor Star Kedah


1) Ulasan/Hujah
i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.


vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.


vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.


viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.


ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.


x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.


xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.


2) Keputusan


i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

-----------
Read more >>
0 comments
Persoalan Cinta
www.iLuvislam.com
Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab*


Persatuan Khalifah dan Persatuan Bahasa Arab dari Kolej Islam Antarabangsa telah menjemput wakil iLuvislam untuk datang memeriahkan program anjuran mereka yang bermula dari 01 hingga 05 Mac 2010. Program yang berlangsung hampir seminggu bertemakan "LOVE" ini telah disusunatur dengan pelbagai aktiviti menarik. Pada malam 02 Mac 2010 (Selasa) yang lalu, saya dan Imran Koyube (Presiden iLuvislam.com) telah berkesempatan mengikuti satu program ceramah bertajuk: "Coffee Talk: Magnet Cinta".

Ceramah ini telah disampaikan oleh seorang penceramah motivasi remaja terkenal tanahair iaitu En. Pahrol Mohd Juoi. Pelbagai tips menarik telah disampaikan oleh beliau di hadapan 300 lebih sisiwa dan siswi Kolej Islam Antarabangsa yang turut hadir memeriahkan ceramah ini.

Di antara kata-kata En. Pahrol Mohd Juoi yang masih saya ingat adalah, "Cinta ini jika tepat masa, ketika, keadaan dan siapa orangnya, maka cinta adalah kuasa luar biasa yang tidak ada bandingannya".

Memandangkan persoalan cinta ini adalah persoalan yang begitu menarik untuk diperbahaskan dan diperkatakan di kalangan remaja Islam pada hari ini, maka iLuvislam juga ingin mengambil peluang ini untuk membicarakan soal cinta dan kasih sayang secara lebih panjang lebar. Walaupun artikel ini membicarakan persoalan cinta, ini bukanlah bermakna kami menggalakkan golongan remaja Islam di luar sana untuk terus. Pihak kami cuma berharap dengan tersiarnya artikel ini, ia akan memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai hakikat cinta agar remaja yang sedang hangat bercinta tidak mudah hanyut dengan arus pancaroba dunia.


PENGERTIAN CINTA

Apa yang kita fahami tentang erti cinta? Jika kita tanyakan persoalan ini kepada para remaja yang sedang hangat bercinta, pelbagai jawapan yang akan diperolehi. Di antara jawapan itu mungkin ada yang berkata: Cinta adalah kasih sayang, cinta adalah buta, cinta adalah rindu-rinduan, cinta adalah tempat meluahkan perasaan dan pelbagai jawapan lagi. Ini hanyalah jawapan pada tanggapan mereka sahaja bahawa cinta bermaksud sedemikian. Betulkah maksud cinta seperti yang para remaja itu fahami?

Menurut En. Pahrol Mohd Juoi, cinta mempunyai beberapa erti yang praktikal di antaranya cinta itu beerti tanggungjawab, perbutan / tindakan, memberi dan lain-lain lagi. Jika kita menyatakan perasaan dan ungkapan cinta kepada seseorang, ini bermakna kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas orang yang kita tujukan ungkapan tersebut. Kita akan bertanggungjawab terhadap segala masalahnya yang dihadapinya termasuklah kewangan, pendidikan, kesihatan dan sebaginya lagi. Sebagai merialisasikan cinta itu, kita juga perlu bertindak melakukan sesuatu untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapinya tanpa kenal penat dan jemu. Kita sanggup memberikan segala tenaga, masa dan wang ringgit untuk orang yang kita cintai itu dengan bersungguh-sungguh.

Disebabkan itulah para suami / bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu dan menyelesaikan masalah isteri dan anak-anaknya kerana suami / bapa itu mencintai dan menyayangi mereka sepenuh hatinya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan orang yang dia cintai dan sayangi. Begitulah hebatnya cinta yang ditunjukkan oleh suami / bapa sebagai memenuhi amanah daripada Allah Taala kepadanya.


FITRAH MANUSIA KEPADA CINTA DAN BERPASANGAN


Firman Allah Taala bermaksud:

Dan sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.
(Surah an-Najm: Ayat45).


Perasaan untuk berpasangan dan bercinta adalah fitrah yang telah dicampakkan oleh Allah Taala kepada hamba-hambaNya. Ini bermakna fitrah untuk dicinta dan mencintai adalah sesuatu yang suci lagi bersih.

Menurut En. Pahrol Mohd Juoi, jiwa manusia ini sememangnya memerlukan cinta kerana cinta diibaratkan seperti makanan kepada jasad. Jasad memerlukan makanan untuk memberikan kekuatan. Kekuatan inilah yang akan menggerakkan tubuh badan untuk menunaikan segala tugas dan tanggungjawab. Begitu jugalah diibaratkan keperluan cinta ke atas diri setiap manusia. Masing-masing memerlukan di antara satu sama lain.

Memandangkan cinta adalah suci lagi murni, janganlah kita kotorkan ia dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan kesucian cinta itu. Perbuatan ini akan membuatkan Allah Taala murka kepada kita. Segala batasan syarak mestilah dipatuhi agar fitrah yang suci itu tidak bertukar menjadi fitnah!


UNDANG-UNDANG CINTA


En. Pahrol Mohd Joui telah menggariskan beberapa peraturan dan batasan-batasan untuk bercinta. Di antaranya ialah:

01. Hendaklah cinta kita itu didasari kepada cintakan Allah Taala.

Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Taala. Allah Taala yang memberikan fitrah itu kepada kita, maka gunakanlah fitrah itu untuk menghampirkan diri kepadaNya.

02. Pastikan semasa menjalinkan hubungan cinta itu tiada hukum Allah Taala yang dilanggar.


Di antaranya ialah tidak ada pergaulan bebas, tidak berdua-duaan di tempat yang sunyi, tidak mendedahkan aurat, tidak mengabaikan asas-asas agama seperti solat dan lain-lain lagi.

03. Jangan mencintai seseorang lebih dari mencintai Allah Taala.


Maksudnya, janganlah kita mencintai seseorang itu lebih hebat daripada kita mencintai Allah Taala. Cintailah seseorang itu seadanya sahaja dan cintailah Pencipta cinta itu lebih dari segalanya.


PERKAHWINAN SEMASA BELAJAR

Ramai di kalangan kawan-kawan saya di Universiti Al-Azhar, Mesir dahulu telah mendirikan rumahtangga / berkahwin bersama pasangan masing-masing semasa belajar. Keadaan ini sudah menjadi adat bagi kami di sana.

"Ustaz, tak teringin untuk mendirikan rumahtangga semasa masih belajar ke?" tanya beberapa orang ahli iLuvislam kepada saya melalui YM. Mungkin mereka mengetahui kebanyakkan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar berkahwin semasa belajar. Di sebabkan itulah mereka bertanyakan soalan seperti itu kepada saya.

Saya hanya tersenyum lantas menjawab ringkas, "tak sampai seru lagi".

Walaupun ada pihak yang begitu bersetuju dengan perkahwinan ketika belajar, namun bagi pendapat saya pula, buat waktu itu, cita-cita saya untuk menuntut ilmu lebih diutamakan berbanding perkahwinan. Selain itu juga, nafsu serta gelora syahwat masih boleh dibendung dan dikawal walaupun kebanyakan perempuan Mesir agak "hot" cara pemakaian mereka. Jadi, adalah lebih baik saya menggunakan waktu itu dengan sebaiknya memandangkan saya masih lagi tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab terhadap keluarga secara khusus. Maka waktu itulah masa yang terbaik untuk saya menuntut ilmu sebanyak mungkin di Bumi Anbiyak itu.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya sebelum fakirmu, keadaan lapangmu sebelum waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu.
(Riwayat Hakim dan Baihaqi).

Selain itu, ada juga yang meminta sedikit nasihat dan pandangan saya mengenai perkara ini, "apakah pendapat ustaz mengenai perkahwinan awal sewaktu masih belajar?"

Saya menjawab, "ia bergantung kepada keadaan seseorang itu"

Saya menambah lagi "jika awak merasakan diri sudah wajib untuk berkahwin dan tiada pula halangan daripada keluarga, berkahwinlah"

Maksud saya ini ialah, jika kita merasakan diri sudah cukup bersedia dan amat dikuatiri diri akan terjatuh ke dalam lembah penzinaan (nafsu meronta-ronta) sekiranya tidak berkahwin, maka pada waktu itu wajiblah ke atasnya berkahwin. Selain itu, ibu bapa juga haruslah dibawa berbincang mengenai perkara ini. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak bersetuju dan mungkin ada juga sesetengah ibu bapa bersetuju. Ia haruslah diuruskan dengan sebaiknya agar kedua-dua belah pihak tidak bermasam muka.

Teringan saya kata-kata En. Pahrol Mohd Juoi, "cinta akan datang jika cita-cita diutamakan, namun jika cinta diutamakan belum tentu cita-cita akan datang."


PERIGI MENCARI TIMBA

Perigi mencari timba atau perempuan mencari lelaki sebagai calon suamainya bukanlah sesuatu yang asing di dalam Islam. Di antara contoh yang boleh dijadikan rujukan perempuan Islam pada hari ini adalah kisah Saidatina Siti Khadijah meminang Rasulullah S.A.W. Ini menunjukkan bahawa harus di sisi agama bahkan digalakkan jika seseorang perempuan itu meminang seorang lelaki yang soleh.

Walaubagaimanapun, adat kita di Malaysia memandang perkara ini sebagai sesuatu yang janggal dan memalukan. Seseorang perempuan itu akan dikatakan gatal jika mereka yang memulakan dahulu perhubungan dengan seseorang lelaki. Sedangkan mendapatkan seorang lelaki / suami yang soleh adalah di antara perkara utama yang dituntut oleh agama.

Persepsi ini perlu diubah secara perlahan-lahan dan beransur-ansur. Selain itu juga, perlulah diingatkan kepada mana-mana perempuan yang ingin memulakan dahulu peminangan ini agar sentiasa menjaga adab-adab dan sopan-santun yang telah di ajar oleh Islam. Jagalah percakapan dan perbuatan agar pihak lelaki tidak salah faham tujuan kita memulakan dahulu perhubungan itu.


PENUTUP

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk mengajak para remaja yang tidak bercinta untuk bercinta dan mencari pasangan. Namun utama artikel ini disediakan adalah untuk memberitahu dan mengingatkan para remaja yang sedang hangat bercinta sekarang ini agar sentiasa berjaga-jaga dengan fitnah dunia. Kerana cinta, para remaja sanggup melakukan apa sahaja walaupun perkara itu bersalahan dengan syarak.

Ungkapan hukamak ada mengatakan: Cinta kepada harta ertinya bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup dan cinta kepada Allah Taala ertinya takwa.


* Penulis
adalah moderator agama iLuvislam.com. Beliau juga berdakwah melalui blognya: http://buluh.iluvislam.com.

Read more >>
0 comments
FEWWIT : Seminar Muslim Super (SMS)
www.iLuvislam.com
Event Team Malaysia iLuvislam.com

Editor : Im Koyube



FEWWIT datang lagi, dan kali ini ia berupa sebuah seminar menarik dan mesti dihadiri oleh semua Muslim!

iLuvislam.com melalui Team Event Malaysia
membawakan kepada anda Seminar Muslim Super (SMS).

Fun & Exciting Weekend With iLuvislam Team (FEWWIT) merupakan program berkala iLuvislam.com dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.(KKSB) melalui tabloid iLuvislam dan Majalah i.

Bertemakan ‘Muslim Hebat, Islam Mantap‘, seminar ini bertujuan untuk membuka minda peserta untuk menguasai bukan hanya dalam bidang akademik malahan lebih jauh dari itu, mampu mengaplikasikan kehebatan Muslim dalam aspek kerjaya dan kehidupan, yang seterusnya membawa kegemilangan buat Islam.


Seminar ini merangkumi 3 slot perbentangan kertas kerja, yang akan dibentangkan oleh 3 orang tokoh dalam bidang masing-masing, serta Penulis buku Muslim Super sendiri.



1. Slot Akademik

Tajuk Pembentangan : Membentuk Inteligensia Cakna

Oleh : Dato' Saifuddin Abdullah

  • Merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 2
  • Ahli Parlimen Temerloh
  • Pernah menjadi kolumnis Berita Harian
  • Telah membentangkan lebih 75 kertas kerja tentang belia, pendidikan, kesukarelaan dan sosio-budaya.


2. Slot Profesional

Tajuk Pembentangan : Menjana Fikrah Muslim Profesional

Oleh : En. Norden Mohamed

  • Merupakan Group Managing Editor Akhbar Harian, Sinar Harian
  • Bekas Pengurus Besar Alaf 21 Sdn. Bhd.
  • Business Advisor untuk Malaysian Business Advisor
  • Bekas Setiausaha Kerja Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
  • Berpengalaman sebagai pegawai latihan Kementerian Tanah & Kemajuan Wilayah


3. Slot Ekonomi

Tajuk Pembentangan : Infak dan Impak

Oleh : Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim



4. Penggulungan

Tajuk Pembentangan : Muslim Super Sebenar

Oleh : Dr. Danial Zainal Abidin


Read more >>
0 comments

Murabbi Cinta, Seorang Nabi

“Kepalaku!” kata Aisyah.

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah radhiyallaahu ‘anha baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi.

Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut.

Baginda menyedarinya.

“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega.

Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga.

Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.

“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.

“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.

Merajuk.

Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.

Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.

SAKIT YANG BERTAMBAH

Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang.

Kesakitan itu memuncak semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah radhiyallaahu ‘anha. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!

“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.

Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ’sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri.

Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.

Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah.

Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi.

“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin daripada para isterinya.

Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?

HARI-HARI TERAKHIR

Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:

Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.

Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.

Anakanda itu menangis.

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya.

Fatimah ketawa.

Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”

Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!”

Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?”

Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!

“Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!

Aku menangis…

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!

Aku ketawa”

Sesungguhnya…

Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!

DETIK SEMAKIN HAMPIR

Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.

Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.

Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.

“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.

Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:

Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian Baginda.

Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan pilihannya itu.

Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi!”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana.

Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.

Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]

Kami rindukanmu.

Murabbi cinta!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Read more >>

kembara ulama 3

0 comments

SYEIKHUNA DATO HASYIM YAHYA

SYEIKHUNA DATO HASYIM YAHYA
Beliau merupakan salah seorang ulamak kontemporari yg tegas. Banyak menyumbang tenaga utk pembangunan Islam di negara kita. Aktif sbg Penasihat Bank Negara, AJK Bank Pembangunan Islam Sedunia, Penasihat Syariah KFC, Suruhanjaya Sekuriti, Bekas Mufti Wilayah,Pakar Rujuk JAKIM. Dan kini sbg Akademik Fellow UIAM. Us Zamihan bertalaqqi dgn beliau selama 2 tahun menerusi pembacaan kitab al-Mughni al-Muhtaj, Bab an-Nikah melalui Kelas Tafaqquh Pegawai JAKIM
Read more >>

kembara ulama 2

0 comments

TG HJ MAT PINTU GENG (1889-1967)

TG HJ MAT PINTU GENG (1889-1967)
Namanya Hj Muhammad bin Ahmad al-Kalantani. Lebih dikenali dengan PakCu Hj Mat. Seorang ulamak dan ahli dalam ilmu tajwid. Menanda Qiraat 7 dlm al-Qur'an kegunaannya. Lahir pada 1889 di Kg Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu. Ibunya berasal dari Patani. Bapanya dari Kelantan tetapi meninggal di Makkah sewaktu beliau masih kecil.Mempelajari al-Qur'an, Ilmu Feqh, Nahw, ilmu usul DLL dengan TG Hj Idris Pasir Kota, Kota Bharu.Seterusnya meyambung pelajaran di Makkah selama 5 tahun. Kembali dan membuka pondok di Pintu Geng thn 1920. Di pondok ini, beliau mengajar kitab2 dan al-Qur'an sekaligus.Mengajar al-Qur'an selama 40 thn dan mengarang : Muqaddimah al-Mubtadi fi Ilmi al-Tajwid.Mempunyai murid yg ramai. Meninggal dirumahnya pd thn 1967
Read more >>

kembara ulama 1:Tok Kenali

0 comments

TOK KENALI (1871 - 1933)

TOK KENALI (1871 - 1933)
Beliau ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871M. Ulamak & Wali Besar Negeri Kelantan. Di kenali diperingkat awal dengan panggilan Awang Kenali oleh gurunya Syeikh Ahmad bin Mustafa bin Muhammad Zain al-Fathani.Pada tahun 1887 ke Makkah utk belajar. Beliau seorang yang warak hatta tidak mempunyai pakaian lebih dari sehelai, tidak memiliki wang, tiada siapa yang mengetahui beliau makan ataupun tidak samada siang ataupun malam. Seorang yang dianggap aneh. Beliau tidak membawa kitab sebagaimana orang lain dlm majlis ilmu. Tetapi memiliki ingatan yang begitu kuat. Beliau duduk dalam halaqah ilmiyyah dengan memejamkan mata. Sehingga orang menyangka beliau tidur. Hampir semua murid Tok Kenali meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam ilmu dan masyarakat. Antaranya ialah Syeikh Idris al-Marbawi,Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti, Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payung dan ramai lagi dikalangan ulamak. Beliau aktif menulis. Antara karyanya: Risalatud Durril Mantsurterjemahan dan penjelasan Fadhilat Burdah Bushiri, Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih. Terlibat dlm menyelesaikan pertikaian antara Syeikh Yusuf al-Nabhani dengan Muhammad Abduh (pemimpin Kaum Muda Mesir)Para alim ulamak, asatizah dan orang ramai menyembahyangkan jenazahnya di hari kewafatan beliau pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Jenazahnya ditalkinkan oleh Tuan Guru Hj Mohammad Nor bekas Mufti Kelantan.

Read more >>

Anwar akui PKR hadapi masalah

0 comments


Ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui parti itu sedang menghadapi masalah apabila beberapa wakil rakyatnya keluar parti baru-baru ini.

Beliau menyifatkan
masalah berkenaan sebagai pengajaran yang baik dalam memilih calon wakil rakyat yang taat dan setia kepada parti pada masa depan.

"Ini masalah kita, ada pengajaran juga...sekarang ini Keadilan menghadapi masalah sedikit tetapi pengajaran yang baik," katanya ketika menyampaikan ceramah politik di Pulau Gadong dekat Melaka, malam semalam.

Baru-baru ini, PKR menerima tamparan apabila tiga anggota Parlimennya iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Anwar berkata semua wakil rakyat PKR dan pemimpin parti itu akan dikenakan mengikuti program tarbiah supaya mereka betul-betul bersemangat kental bagi menghadapi cabaran dan setia kepada parti.

- Bernama
Read more >>

Nik Aziz masuk hospital

0 comments



Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, selepas mengadu sakit dada, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Setiausaha akhbarnya Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika menjalani pemeriksaan di klinik jantung universiti itu, Nik Aziz merasa sakit di dada sebelah kiri.

Nik Aziz kini ditempatkan di wad orang kenamaan di hospital tersebut, tambah Ahmad Fadhli kepada Malaysiakini hari ini.

Masalah kesihatan Nik Aziz itu dipercayai menyebabkannya tidak dapat menyambut Sultan Kelantan yang berangkat pulang hari ini dari mendapatkan rawatan perubatan di Singapura.

Ditanya tentang tahap kesihatan semasa mursyidul am PAS itu, Ahmad Fadhli berkata Nik Aziz semakin pulih.

“Pukul 12.00 tengah hari tadi saya melawat beliau. Keadaannya alhamdulillah bertambah baik. Sudah (boleh) baca surat khabar.”

Tambahnya, Nik Aziz dijangka dapat keluar daripada wad dan bertugas seperti biasa tidak berapa lama lagi.

“Tengoklah dalam dua, tiga hari lagi,” kata Ahmad Fadhli lagi.
Read more >>

Jaringan Perbankan

 

Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Touch up by Mohd Syahiran