Monday, June 7, 2010

Dengan Kuasa yang Hebat, Datang Tanggungjawab yang Berat




Apalah agaknya yang akan berlaku kepada generasi muda, remaja dan belia pada hari ini. Gambaran yang dipaparkan oleh media cukup memberikan rasa gentar dan takut kita tentang dunia yang bakal didiami oleh anak bangsa kita akan datang. Media massa seolah-olah menyibukkan untuk mempersembahkan segala macam kerosakan manusia hari ini. Bermula dengan pembunuhan, rompakan, peras ugut, melacur, penzinaan dan pelbagai keadaan yang menampakkan kita bahawa, semakin maju dunia, semakin rendah akhlak dan moraliti mereka. Semakin tinggi akal, semakin sempitlah cara hidup manusia.

Pasti kita bersama pernah mendengar ungkapan kata-kata seorang pakcik tua yang dikenali sebagai ‘Uncle Ben’ kepada seorang anak mudanya, "Dengan Kuasa yang Hebat, Datang Tanggungjawab yang Berat'. Kini fahamilah kita bersama kata-kata Imam Hassan Al-Banna bahawasanya masa yang diperuntukkan untuk kita tidak akan mencukupi kerana sesungguhnya kewajipan itu lebih banyak daripada masa. Tangisan hari ini apabila mengenangkan masa yang berlalu dengan kekalutan budaya dalam diri manusia remaja ini memberikan kesan di dalam hati kita semua. Timbul pelbagai persoalan, mampukah mereka menguasai dunia atau dunia akan menguasai mereka? Ungkapan yang sama diterjemahkan di dalam filem Kungfu Hustle yang mengisahkan seorang anak muda diberikan anugerah kuasa kungfu yang hebat.

Kini, kita seharusnya sedar, semakin ramai manusia yang berilmu, maka sepatutnya semakin amanlah dunia ini. Namun ia tidak berlaku sebagaimana yang diimpi. Apabila, mereka yang diberikan anugerah kuasa yang hebat itu (ilmu) tidak melakukan tanggungjawabnya yang besar. Perasaan ini kita bersama kongsikan, apabila keluar sahaja dari dewan graduasi, perasaan bercampur baur ini perlukan tunjuk jalan, sama ada bergembira dengan beban tanggungjawab dakwah itu atau bersedih?

Allah menciptakan kita sebagai Khalifah adalah untuk mentadbir muka bumi dan hidup yang sementara ini. Bekalannya ilmu untuk digunapakai agar tidak tersalah pilihan dan halatuju. Namun, jangan kita lupa, dengan ilmu ini Allah datangkan juga ujian sebagai kayu ukur insan mengingati-NYA atau menggantikan-NYA di dalam hati kita.

Oleh kerana itu, kita sering diingatkan oleh Allah untuk terus berfikir, berfikir dan berfikir. Maka fikirkanlah, adakah ilmu yang kita punyai ini mendapat rahmat untuk kita sendiri dan adakah ia memberi manfaat kepada orang lain. Sahabat-sahabat seperjuanganku, teruskanlah berdakwah kepada masyarakat, apa yang penting ialah sedarkan mereka, berikan mereka peringatan, jangan biarkan mereka lupa, padah akibatnya bukan untuk mereka sahaja, bahkan anak cucu cicit kita juga nanti. TUNE-lah diri kita.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan Perbankan

 

Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Touch up by Mohd Syahiran