Saturday, February 6, 2010

Tanggang Moden, Apa Kesudahannya




Tanggang Moden, Apa Kesudahannya

Januari 28, 2010 oleh Faisal Mustaffa

Tanggang Moden! Itulah sahaja yang selalu disebut oleh para penceramah di masjid-masjid. Gejala tidak mengaku si ibu dan ayah bukanlah perkara baru di dalam masyarakat kita. Masih kita ingat kisah Si Tanggang arahan Dato’ Jamil Sulong sekitar tahun 1961. Dato’ Jins Samsuddin memegang watak Tanggang dan Normadiah memegang watak sebagai Dermai iaitu emak kepada Si Tanggang.

Kemudiannya muncul pelbagai filem dan drama yang mengisahkan tentang pengorbanan si ibu dan ayah yang berakhir dengan penderhakaan. Sehingga kini, masih banyak drama-drama yang diterbitkan mengisahkan berkenaan penderhakaan seorang anak kepada ibunya.

Pernah saya terbaca di dalam sebuah akhbar di mana seorang bapanya ditinggalkan oleh anaknya di sebuah klinik. Ketika itu si anak membawa ayahnya untuk mengambil ubat disebuah klinik. Kemudiannya si ayah menunggi si anak tidak datang mengambilnya. Sehinggalah pada suatu hari lelaki tua tersebut diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dibawa ke rumah orang tua-tua.

Walaupun pelbagai tindakan telah diambil, gejala ini bagaikan tiada kesudahannya. Semakin hari semakin parah. Persoalannya siapakah yang harus dipersalahkan di dalam hal ini. Si anak ataupun si ibu tersebut? Ramai yang mudah menunding jari untuk menyalahkan si anak yang derhaka tersebut. Ini kerana perbuatannya mereka membiarkan si ibu dibiarkan adalah cukup melampau.

Namun begitu saya lebih suka mengajak kita berfikir apakah “the real problem” kepada masalah tersebut. Si anak yang derhaka, ataupun si ayah dan ibu yang di derhakai?

Sekiranya di dalam filem Si Tanggang, si anak menjadi derhaka selepas berkahwin dengan seorang wanita, tetapi di dalam filem Anakku Sazali berlainan pula kisahnya. Di dalam filem tersebut P.Ramlee sedikit sebanyak berjaya memberikan jawapan kepada kita berkenaan permasalahan yang berlaku ini. Sazali menyalahkan ayahnya kerana si ayah memberikan kasih sayang yang membabi buta kepada anaknya tanpa diberikan teguran diatas kesalahan yang dilakukan.

Inilah realiti yang berlaku di dalam negara kita. Di mana tugas mendidik anak-anak mengikut kaedah yang digariskan oleh Islam diabaikan oleh ibu bapa. Anak-anak hanya diberikan makanan fizikal, tetapi kurang diberikan makanan spiritual. Penekanan kepada pengajian akademik membuatkan ramai ibu bapa membelakangkan pengajian asas fardhu ain anak-anak mereka.

Puas apabila si anak berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan, tetapi tidak risau apabila si anak tidak tahu membaca Al-Quran. Kerana sayangkan si anak, ibu dan ayah tidak mengejutkan si anak untuk solat fardhu Subuh kerana kasihankan si anak. Inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat.

Sikap derhaka ditanamkan dan disuburkan sendiri oleh ibu dan ayah kepada anak-anak mereka. Sifat derhaka yang ditanam ke dalam jiwa anak-anak ini bukan derhaka kepada manusia, tetapi derhaka Allah. Hak-hak Allah yang tidak ditunaikan oleh anak-anak jarang sekali diambil berat oleh ibu dan ayah. Lebih risaukan anak-anak tidak cemerlang di dalam peperiksaan di dunia, tetapi mereka terlupa bahawa anak-anak tersebut akan menduduki peperiksaan terakhir yang paling getir di hadapan Allah SWT di hari akhirat.

Akibat selalu melakukan penderhakaan kepada Allah, si anak seolah-olah tidak rasa bersalah untuk melakukan penderhakaan kepada ibu dan ayahnya. Inilah perasaan yang terlintas di dalam hati orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Sekiranya Allah yang lebih agung sudah ditinggalkan, apatah lagi si ibu dan ayah yang hanya manusia biasa.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan Perbankan

 

Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Touch up by Mohd Syahiran