Sunday, April 11, 2010

kena cekup sebelum Subuh



SEBAHAGIAN daripada 44 warga asing yang ditahan menunggu proses saringan permit
perjalanan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sekumpulan warga asing yang menjual sayur kitar semula bertempiaran lari meninggalkan barangan jualan mereka selepas dua buah pasar borong diserbu pihak berkuasa sebelum subuh semalam.

Serbuan yang diketuai pasukan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilakukan pada waktu kira-kira 10 peniaga tersebut leka menyusun sayur-sayur terbuang untuk dijual kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Biarpun gagal memberkas mereka yang juga sasaran utama serbuan tersebut, operasi selama empat jam itu berakhir dengan penahanan 44 warga Myanmar dan Bangladesh yang bekerja di pasar berkenaan.

Bagaimanapun DBKL merampas barangan niaga seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang mahu dijual oleh para peniaga warga asing berkenaan untuk dilupuskan.

Timbalan Pengarah Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Ab. Salim Mansor berkata, pada waktu serbuan dipercayai kira-kira 100 warga asing berada di kedua-dua pasar berkenaan.

"Kita dapat menahan 34 orang di Pasar Selayang dan 10 orang lagi di Pasar Borong Kuala Lumpur,'' ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Ab. Salim, empat orang diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan manakala yang lain dibebaskan kerana mempunyai permit.

Operasi itu melibatkan 80 anggota penguat kuasa DBKL, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan polis.

Kosmo! sebelum ini turut melaporkan aduan orang ramai mengenai kegiatan para peniaga terbabit yang semakin berani menjual sayur buangan kepada orang ramai di luar pasar sehingga menjejaskan pendapatan peniaga warga tempatan.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan Perbankan

 

Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Touch up by Mohd Syahiran