Sunday, April 25, 2010

Tiga ADUN Selangor ”panas hati” khabar angin meninggal dunia





KUALA LUMPUR 25 April – Dalam suasana panas menanti keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor malam ini, tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor pula ”panas hati” apabila khabar angin heboh memperkatakan bahawa mereka telah meninggal dunia.

Bermula dengan ADUN Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim (PSM), khabar angin itu kemudian dikaitkan dengan ADUN Damasara Utama, Dr. Cheah Wing Yin (DAP) dan juga ADUN Sungai Burong, Shamsuddin Lias (Barisan Nasional), hingga menimbulkan kekeliruan banyak pihak.

Bilik berita dan telefon bimbit wartawan hari ini dihujani dengan panggilan bertalu-talu daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan tersebut selain daripada ingin mendapatkan perkembangan mutakhir keputusan PRK Parlimen Hulu Selangor.

Nyata khabar angin itu tidak berasas apabila Shamsuddin ketika dihubungi menjawab panggilan tersebut sambil menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu.

Dr. Mohd. Nasir, yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), pula walaupun gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksinya berhubung khabar angin itu, tetapi disahkan sihat dan tidak terbabit dalam sebarang kemalangan jalan raya oleh Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan yang memaklumkannya melalui laman web Twitter.

Dr. Wing Yin yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Sunway selepas terlibat dalam kemalangan 13 Mac lepas, turut menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Bagaimanapun pembantu khas beliau, Richard Yap ketika dihubungi berkata, keadaan Dr. Wing Yin kini bertambah stabil dan beliau dijangka dipindahkan ke wad biasa esok. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Jaringan Perbankan

 

Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Touch up by Mohd Syahiran