Sunday, April 11, 2010

Sultan prihatin, sederhana




TUANKU Ismail Petra memberikan tabik hormat kepada barisan kehormatan anggota Komando 69 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu tiga tahun lalu. kiri, gambar terbaru Sultan Kelantan Rabu lalu.


RABU lalu, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, 61, yang telah gering hampir setahun buat pertama kalinya berkenan bertemu rakyat jelata.

Dengan senyuman yang sering terukir di bibir dan keadaan kesihatan yang nampaknya kian sejahtera, baginda meraikan lebih 100 anak yatim dari beberapa buah sekolah di Kelantan di samping memberikan sumbangan zakat di Istana Mahkota, Kubang Kerian.

"Alhamdulillah sihat, terima kasih kerana datang," titah baginda saat disapa seorang tetamu majlis tersebut.

Duduk di atas kerusi roda berpakaian kemeja batik hitam bercorak bunga putih, baginda tampil sederhana.

Sehari sebelumnya, baginda dikhabarkan ceria ketika dibawa bersiar-siar buat pertama kali di sekitar di Kota Bharu oleh puteranya, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry dengan kereta Bentley. Pastinya saat itu cukup bermakna buat baginda.


KERETA Bentley yang digunakan Sultan Kelantan untuk bersiar-siar di Kota Bharu Selasa lalu.


Lagi pula, Jurnal difahamkan, baginda seorang yang amat prihatin selama memerintah negeri itu.

Menurut seorang sumber yang agak rapat dengan keluarga diraja, semasa sihat, baginda sering keluar mengelilingi sekitar Kota Bharu pada waktu tengah malam untuk meninjau jika terdapat kerosakan prasarana dan sebagainya.

"Baginda keluar sekitar pukul 11 atau 12 tengah malam untuk meninjau keadaan Kota Bharu. Keesokan harinya baginda akan menemui pegawai-pegawai yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang dilihat baginda.

"Biasanya baginda akan berbuat demikian apabila terdapat aduan daripada rakyat," kata Mokhtar Wan Abdul Rahman yang merupakan Setiausaha Kehormat Majlis Jaksa Pendamai saat diminta berkongsi cerita tentang personaliti baginda.

Meraikan anak-anak yatim dari beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, SMK Putri dan SMK Zainab II baru-baru ini membuktikan baginda masih mengambil berat hal mereka yang tidak bernasib baik.

Kebajikan


TUANKU Ismail Petra (tiga dari kiri depan) bersama beberapa sultan lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.


Baginda pernah melahirkan kekecewaan terhadap sikap rakyat negeri itu yang tidak peka dengan aspek kebersihan sedangkan ia menjadi tuntutan syarak dan kehidupan.

Baginda ingin melihat keadaan itu berubah dengan rakyatnya mengamalkan konsep kebersihan yang merangkumi zahir dan batin.

Hal itu disuarakan pada tahun 2008 ketika merasmikan sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri Kelantan.

Tuanku Ismail diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar Kota Bharu.

Ayahanda baginda ialah Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan bonda baginda Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Muhammad Petra. Sultan Yahya Petra merupakan Yang di-Pertuan Agong keenam.

Tuanku Ismail memulakan pengajian di Maktab Sultan Ismail Kota Bharu sebelum belajar dengan guru khas bahasa Inggeris.

Baginda mendapat anugerah Ijazah Doktor Falsafah Kehormat dari Universiti Ramkhamhaeng, Thailand pada 8 Januari 2002 dalam bidang Sains Politik.

Baginda berkahwin pada 4 Disember 1968 di Istana Kota Lama dengan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, 59.

Baginda dikurniakan tiga orang putera dan seorang puteri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra (Tengku Mahkota Kelantan), 41, Tengku Muhammad Faiz Petra (Tengku Bendahara Kelantan), Tengku Muhammad Fakhry Petra (Tengku Temenggung Kelantan), 32, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 27.

Tuanku Ismail menaiki takhta pada 29 Mac 1979 dan ditabalkan pada 30 Mac 1980 sebagai Sultan Kelantan yang ke-28.

Menurut Mokhtar, baginda seorang yang tidak berlebih-lebihan dan sering bersikap low profile. Baginda bersederhana dalam berpakaian dan tidak begitu memilih barangan berjenama asalkan selesa dipakai.

Baginda juga jarang membahasakan dirinya sebagai beta, satu kata ganti diri yang selayaknya bagi seorang sultan.

Kita


MANOHARA menambah hangat kemelut istana Kelantan.


"Baginda biasa membahasakan dirinya sebagai 'kita'. Baginda juga memilih untuk bersemayam di Istana Mahkota, bukan Istana Negeri yang menjadi kediaman rasmi sultan," ujar Mokhtar.

Sebagai Ketua Agama Negeri Kelantan, baginda juga amat prihatin soal agama dan baginda pernah menegur segelintir anggota masyarakat Islam yang memandang rendah institusi perundangan Islam terutama Mahkamah Syariah.

"Terdapat segelintir daripada mereka yang masih tidak berasa bangga sebagai seorang Muslim dan terhadap ajaran Islam.

"Minda mereka dalam persepsi terhadap Mahkamah Syariah begitu rendah dan dingin.

"Mereka tergamak melakukan perkara-perkara yang boleh disifatkan sebagai menghina institusi itu melalui pelbagai cara," titah baginda dalam satu majlis pada tahun 2008.

Ditanya apakah kegemaran baginda, Mokhtar berkata, Tuanku Ismail apabila ada kelapangan gemar menaiki bot dan menikmati keindahan panorama lautan.

Baginda biasanya akan berbuat demikian sekali dalam dua atau tiga bulan.


TENGKU ANIS


Kegemaran baginda yang lain ialah memandu, membaca, muzik, bidang fotografi dan sukan seperti bermain badminton dan menembak

Mokhtar mengakui baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Artileri Diraja amat meminati aktiviti menembak dan mempunyai koleksi pistol.

"Kalau tentang pistol, memang baginda arif. Jangan sesiapa berani kelentong tentangnya kepada baginda," ujar Mokhtar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd. Norhamzah Engku Hussin yang berpeluang menghadap Sultan beberapa kali memberitahu, Tuanku Ismail seorang yang disenangi rakyat dan lemah lembut dalam pertuturannya.

"Baginda berwajah lembut, tidak nampak bengkeng. Baginda bertutur dengan lemah lembut. Selain itu, apa yang saya lihat, baginda kerap menunaikan solat Jumaat di merata-rata masjid di negeri ini," ujarnya.

Gering


ELIA SUHANA


Apabila mendengar perkhabaran baginda gering pada 14 Mei tahun lalu, Tengku Mohd. Norhamzah mengakui berasa amat dukacita.

Tuanku Ismail yang mengalami masalah kesihatan jantung mula dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum dihantar ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura 10 hari kemudian untuk rawatan susulan. Baginda kembali ke tanah air 4 Mac lalu.

"Sebelum ini tidak pernah saya dengar baginda gering. Saya kira ini kali pertama. Saya memang sedih.

"Apabila baginda dikhabarkan sudah semakin pulih dan berangkat pulang ke Kelantan, saya dan beberapa ahli pertubuhan turut menyambut kepulangan baginda di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra tempoh hari," katanya.

Sememangnya banyak yang telah berlaku sepanjang tempoh baginda gering termasuklah kemelut bersiri yang melanda institusi diraja negeri itu.

Berita isteri Tengku Temenggong, Tengku Fakhry, Manohara Odelia Pinot yang meninggalkan suaminya dan pulang ke negara asalnya, Indonesia pada Jun lalu menggemparkan negara.

Media turut melaporkan Tengku Fakhry telah memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran mengadakan semakan kehakiman berhubung keputusan membatalkan kedudukannya sebagai seorang ahli Majlis Perajaan Negeri atau bakal pewaris takhta yang dibuat oleh kekanda sulungnya, Tengku Faris yang juga Pemangku Raja Kelantan.

Pergeseran antara dua beradik itu menjadi lebih panas apabila Tengku Fakhry dilaporkan mengemukakan saman pemula terhadap Tengku Faris berhubung pemilikan sebuah kereta mewah buatan Bentley berharga RM1.6 juta.

Konflik istana Kelantan terus diperkatakan apabila Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31, madu kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis dihalang daripada menemui suaminya yang sedang gering.

Sultan Kelantan didakwa telah menjatuhkan talak tiga terhadap Elia pada 12 Februari ketika baginda dirawat di Singapura.

Kemelut


TENGKU FARIS


Beberapa rombakan pegawai tadbir, pelantikan dan pengguguran keahlian dalam Majlis Perajaan Negeri, penarikan balik gelaran Datuk antara yang merumitkan lagi kemelut di Kelantan.

"Saya berharap semoga kemelut ini tidak berlarutan. Jangan mengeruhkan lagi apa yang terjadi.

"Kami harap akan ada tolak ansur di antara pihak yang berbalah dan ia dapat diselesaikan dengan mengikut undang-undang yang sah," kata Tengku Norhamzah.

Akhbar minggu ini melaporkan, rawatan stimulasi persekitaran yang dilakukan oleh sekumpulan pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) memberi kesan yang sangat positif terhadap perkembangan Tuanku Ismail.

Jurupulih Cara Kerja HRPZII, Rosli Ngah dipetik berkata, teknik rawatan itu yang dibuat sepenuhnya di Istana Mahkota amat berkesan memandangkan kawasan persekitarannya yang hijau dan udara segar.

"Pendedahan kepada alam sekitar di kawasan istana membantu menenangkan fikiran dan menjadikan minda Sultan Kelantan semakin cergas," kata Rosli.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan Perbankan

 

Copyright 2010 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Touch up by Mohd Syahiran